Didier Drogba jumpa peminat Malaysia

PETALING JAYA – Beratus-ratus penyokong Chelsea FC memenuhi sebuah pusat membeli-belah ternama di sini hari ini, untuk bertemu legenda kelab Liga Perdana Inggeris itu, Didier Drogba semasa sesi bertemu peminat.

Acara yang bermula 12 tengah hari tadi itu, dimulakan dengan persembahan ‘freestyle’ bola sepak, diikuti permainan khas untuk peminat terpilih.

Orang ramai mula bersorak sebaik sahaja bekas penyerang ‘The Blues’ itu hadir pada sesi berkenaan. Beliau juga berpeluang menjawab beberapa soalan daripada peminat Chelsea FC semasa sesi soal-jawab yang berlangsung kira-kira setengah jam.

Pemain kelahiran Ivory Coast berusia 40 tahun itu yang sudah bersara daripada arena bola sepak, dan merupakan duta global Yokohama, kini dalam lawatan ke beberapa pasaran utama syarikat berkenaan berikutan kejayaan kempen jualan dan pemasaran, bermula September hingga November tahun ini.

Yokohama Rubber Co. adalah Rakan Rasmi kepada Chelsea FC yang memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris sebanyak lima kali dan juga juara bertahan Piala FA.

Drogba menjaringkan lebih 100 gol untuk Chelsea FC dalam Liga Perdana Inggeris dan memenangi kejuaraan itu sebanyak empat kali, serta juara Liga Juara-Juara Eropah pada 2012.

Drogba pernah memenangi 12 trofi utama, semasa dua kali bersama kelab berkenaan, dari 2004-2012 dan 2014-15. – Bernama