Dedah skandal seleweng TH bukan motif balas dendam


PARIT BUNTAR – Tindakan kerajaan PH bakal mendedahkan skandal penyelewengan dalam TabungĀ  Haji (TH) di Parlimen pada Isnin ini bukan merupakan usaha bermotifkan balas dendam terhadap kerajaan terdahulu.


Sebaliknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri(Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan dakwaan dilontarkan segelintir pemimpin parti pembangkang itu bersikap dangkal kerana skandal itu adalah melibatkan kepentingan seluruh umat Islam di negara ini.


Menurutnya, isu pendedahan penyelewengan TH sebenarnya sudah dilakukan pihaknya pada tahun 2015 hingga 2016, jadi tuduhan kerajaan PH cuba balas dendam tidak relevan kerana perkara itu sudah dibangkitkan agak lama.


“Bila kita dedahkan penyelewengan itu, ada orang harap jangan jadi satu usaha balas dendam.


“Ini kenyataan yang dangkal kerana mendedahkan satu skandal yang melibatkan kepentingan umat Islam dianggap satu balas dendam,” katanya kepada media selepas program Back To School di Mydin Mall di sini hari ini.


Seramai 200 murid di Parlimen Parit Buntar menerima bantuan beg sumbangan Mydin dan baucar pembelian pakaian seragam sekolah bernilai RM100 setiap seorang dari Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit Buntar.


[ARTIKEL BERKAITAN: Gempar! lebih RM22j dana Tabung Haji untuk politik]


[ARTIKEL BERAKITAN: Siasat segera isu penyelewengan TH]


[ARTIKEL BERKAITAN: Azeez nafi guna duit pencarum Tabung Haji untuk politik]


Mujahid berkata, kerajaan PH akan mendedahkan maklumat dapatan diperoleh dalam skandal penyelewengan TH melalui satu sidang media khas di Parlimen pukul 10.15 pagi Isnin ini.


Menurutnya, pendedahan itu bersandarkan hasil laporan kewangan TH bagi tahun berakhir 2017 terhadap beberapa perkara dianggap bercanggah seperti isu keuntungan.


“Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mendedahkan di Parlimen supaya rakyat negara ini tahu dengan apa yang kita siasat dalam pengurusan TH.


“Kita terpaksa mendedahkan dan memberi penjelasan mengenai dapatan dijumpai dalam TH meskipun kondisinya amat menyedihkan, lebih-lebih lagi perkara ini berkaitan kepentingan umat Islam.


“Ini kita terpaksa dedahkan dan beri penjelasan melalui dapatan kami jumpa dalam TH meskipun situasinya amat menyedihkan kerana melibatkan kepentingan umat Islam.


“Dapatan itu termasuklah dua aduan melibatkan RM22 juta Yayasan Tabung Haji dan AS$910 juta(RM3.8 bilion) jualan 95 peratus saham anak syarikat TH,” katanya.


Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, TH sudah membuat dua laporan polis mengenai penyelewengan dalam agensi itu dan pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut.


“Kita percaya polis akan siasat siapa yang terlibat menyalahgunakan dana TH dan pada masa ini, sesiapa pun tidak dianggap bersalah sehingga terbukti melakukannya,”katanya.