Batuk, demam tidak halang Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR 8 Dis. – Meskipun batuk dan demam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tetap hadir ke himpunan aman menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) #DaulatHimpunan812, demi memperjuangkan hak serta kepentingan bumiputera dan Islam.

Ketika berucap dalam perhimpunan tersebut, beliau berkata, perhimpunan itu penting untuk menunjukkan komitmen dua parti terbesar orang Melayu, UMNO dan Pas yang memandang berat isu meratifikasi ICERD.

Beliau pada masa sama melahirkan rasa kecewa apabila ICERD sekadar diperjelaskan oleh kerajaan menerusi satu kenyataan akhbar, tidak seperti isu rusuhan kuil Hindu di Subang, dekat sini baru-baru ini sehingga Perdana Menteri sendiri membuat kenyataan dalam sidang Dewan Rakyat.

“Kerjasama UMNO dan Pas akan diterjemahkan dari segi mempertahankan Islam dan Melayu. Perhimpunan ini sebagai manifestasi apabila Islam dan bangsa diusik, kita akan bangkit.

“Walaupun batuk dan demam, saya sanggup untuk bersama semua dalam keadaan panas dan hujan atas nama Islam dan Melayu,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan tersebut yang dianggarkan dihadiri sekitar 300,000 peserta. – UTUSAN ONLINE