Ambiga puji penganjur #DaulatHimpunan812 dan polis

KUALA LUMPUR 8 Dis. – Datuk S. Ambiga memuji penganjur perhimpunan #DaulatHimpunan812 Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) kerana dapat dijalankan dengan aman.

Bekas Pengerusi Bersih itu yang sinonim dengan perhimpunan aman di jalanan turut memuji pasukan polis atas keupayaan mereka mengawal keadaan dengan baik.

“Saya ucapkan tahniah kepada penganjur dan polis kerana perhimpunan berlangsung aman. Selamat datang ke Malaysia baharu,” katanya di laman Twitter beliau, hari ini.

Terdahulu ratusan ribu rakyat Malaysia membanjiri Kuala Lumpur hari ini bagi menyatakan rasa kesyukuran atas keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasi ICERD.

Perhimpunan tersebut berjalan lancar tanpa sebarang perkara tidak diingini berlaku walaupun hujan turun dengan lebat petang tadi. – UTUSAN ONLINE