Air 'karat' di Simpang Renggam, ini jawapan SAJ Ranhill…


SIMPANG RENGGAM – SAJ Ranhill Sdn Bhd (SAJ Ranhill) menafikan laporan yang mengatakan kualiti bekalan air di Simpang Renggam bertukar warna kemerah-merahan dan berkeladak sebagai mana yang dilaporkan oleh beberapa akhbar, kelmarin.


Ketua Komunikasi Korporat SAJ Ranhill, Jamaluddin Jamil berkata, sebaik mendapat maklumat berkaitan kejadian tersebut satu tindakan bersepadu dilancarkan dengan menghantar sepasukan pemeriksa kualiti air  untuk melakukan siasatan di lebih 10 lokasi pensampelan di kawasan Simpang Renggam terutamanya di Kg Melayu dan Taman Yani.


Katanya, hasil daripada pemeriksaan tersebut, SAJ mendapati tiada masalah pelanggaran kualiti air yang dibekalkan di Simpang Renggam malahan semakan melalui Info Center SAJiC juga mencatatkan tiada aduan tentang kualiti air seperti mana di laporkan dari kawasan terbabit.


“Ini bermakna laporan tersebut dipercayai tidak menggambarkan keadaan sebenar kejadian malah sepanjang tahun 2018 tiada aduan seumpama itu dilaporkan menerusi Info Center SAJiC di Simpang Renggam.


“Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga melakukan pemeriksaan berkala di semua lokasi pensampelan air dan setakat in tiada pelanggaran piawaian dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Bagaimanapun, Jamaluddin berkata, SAJ akan terus memberi fokus kepada isu air di kawasan Simpang Renggam ini dengan membuat penilaian lebih terperinci berkenaan isu ini terutama bagi premis-premis yang mengalami masalah air berwarna di kawasan itu dan mohon pengguna yang mengalami masalah tersebut untuk tampil memberikan maklumat yang tepat.  


“SAJ juga tetap akan meneruskan program ‘scouring & flushing’ di kawasan kawasan ini supaya tidak timbul salah faham mengenai kualiti air yang dibekalkan selain sentiasa komited memastikan piawaian air terawat yang ditetapkan oleh KKM dipatuhi.


“Usaha untuk membekalkan air bersih kepada pengguna sentiasa dipatuhi oleh SAJ dan ianya juga tidak terkecuali kepada pengguna di sekitar kawasan Simpang Renggam yang menerima air bersih terawat dari Loji rawatan air (LRA) Simpang Renggam,” katanya.


Menurutnya, pengguna yang memerlukan maklumat lanjut berkaitan bekalan air setempat termasuk kualiti air yang diterima boleh terus menghubungi SAJ Info Center menerusi Talian 1 800 88 7474 atau SMS 019 772 7474 atau menerusi e-mail [email protected] yang beroperasi 24 jam.


Rabu lalu, Sinar Harian melaporkan penduduk di beberapa kawasan perumahan di sekitar Simpang Renggam mendakwa kehidupan harian mereka terjejas apabila bekalan kualiti air di kawasan mereka merosot dan berubah warna menjadi kemerah-merahan.


[ARTIKEL BERKAITAN: Penduduk risau air paip ‘berkarat’]