AIM perlu dipertahankan

TEMERLOH 8 Dis. – Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang memberi sumbangan besar terhadap usaha mengurangkan kemiskinan di negara ini perlu dipertahankan.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd. Anuar Tahir berkata, badan itu yang telah lama wujud perlu terus diperkasakan dari semasa ke semasa bagi membangunkan ekonomi negara.

“Semasa Datuk Seri Anuar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan, beliau telah memberikan bajet besar menerusi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dan AIM ini berjaya mengeluarkan ramai orang daripada kemiskinan.

“Ia mesti diperkasakan lagi, bukannya ditutup mudah-mudah kerana menutup AIM ini mendatangkan implikasi yang buruk terhadap usaha membasmi kemiskinan,” katanya pada program Khidmat Masyarakar dan ‘Care for Giant’ anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam di Kampung Enggang di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Latihan dan Jaringan Industri, UiTM, Shira Haniza Yaakop.

Baru-baru ini Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin dalam sidang Dewan Rakyat kelmarin mengenai kerajaan akan memulakan prosedur pembatalan Sijil Pemerdanan AIM kerana tidak memenuhi syarat-syarat Suratcara Ikatan Amanah terutamanya dalam penubuhan anak-anak syarikat. – UTUSAN ONLINE