Abu Kassim tidak terlibat pindaan laporan audit 1MDB

PUTRAJAYA 7 Dis.- Tan Sri Abu Kassim Mohamad mengakui tidak terlibat dalam pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

ABU KASSIM MOHAMED
ABU KASSIM

Tegas Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), malah beliau yang ketika itu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berusaha untuk mendapatkan laporan asal daripada Ketua Audit Negara.

“Walau bagaimanapun, terdapat percubaan untuk memberi penerangan kepada kita tentang sesuatu yang tidak diterbitkan dalam laporan itu.

“Sebab itu kita pergi ke hadapan (go beyond) dan memulakan siasatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Antarabangsa Anti Rasuah Sheikh Tamin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putraya.

Pada 25 November lalu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad mendedahkan, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB menerusi pengguguran beberapa perenggan.

Antara pengguguran maklumat itu termasuklah membabitkan kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.

Menurut Madinah, selain Amrin antara individu yang turut terlibat dalam pindaan itu termasuklah bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Salleh; bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda.

Sementara itu, Abu Kassim memaklumkan, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad amat komited dalam membanteras gejala rasuah malah beliau telah meluluskan lebih 21 polisi dalam tempoh hanya beberapa bulan, dalam usaha memerangi gejala berkenaan.

Katanya, Dr. Mahathir juga telah meluluskan Pelan Antirasuah mengandungi 103 initiatif yang secara tulen untuk melawan gejala rasuah.

“Beliau telah memanggil pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta membuat jawatankuasa reformasi berkaitan agar mereka dapat mengeluarkan syor-syor bagaimana untuk memastikan negara ini bebas dari rasuah,” katanya.

Mengulas langkah pengisytiharan harta, Abu Kassim berkata, perkembangan harta milikan menteri dan timbalan menteri akan dipantau terutama ketika mereka berkhidmat.

“Ini langkah penting dalam memastikan bahawa mereka membelanjakan berdasarkan apa yang mereka peroleh.

“Ketelusan dalam bagaimana mereka membelanjakan wang mereka dan membeli harta baharu adalah lebih penting daripada melihat apa harta yang mereka miliki sebelum mereka menjadi menteri, timbalan menteri dan ahli Parlimen,” katanya. – UTUSAN ONLINE