[UPDATE] Dakwaan tidak benar

SAJ Ranhill Sdn Bhd (SAJ Ranhill) menafikan dakwaan mengatakan kualiti air di Simpang Renggam bertukar warna kemerah-merahan dan berkeladak.

Ketua Komunikasi Korporat SAJ Ranhill, Jamaluddin Jamil berkata, satu tindakan bersepadu dilancarkan dengan menghantar sepasukan pemeriksa kualiti dan mengambil contoh air di lebih 10 lokasi di Simpang Renggam terutama di Kampung Melayu dan Taman Yani.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati tiada masalah pelanggaran kualiti air di Simpang Renggam, malah semakan melalui Info Center SAJIC mencatatkan tiada aduan berkaitan kualiti air seperti dilaporkan.

“Ini bermakna laporan itu tidak menggambarkan keadaan sebenar kejadian, malah sepanjang tahun ini tiada aduan dilaporkan menerusi Info Center SAJ di Simpang Renggam.

“Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga melakukan pemeriksaan berkala di semua lokasi pensampelan air dan setakat ini tiada pelanggaran piawaian dilaporkan,” katanya ketika menghubungi NSTP, hari ini.

Bagaimanapun, Jamaluddin berkata, pihaknya akan terus memberi fokus kepada isu air di kawasan Simpang Renggam dengan membuat penilaian lebih terperinci terutama di premis yang mengalami masalah air berwarna.

Katanya, bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan terperinci pengguna yang mengalami masalah diminta tampil memberikan maklumat tepat.

“SAJ meneruskan program ‘scouring & flushing’ di kawasan itu supaya tidak timbul salah faham mengenai kualiti air yang dibekalkan selain memastikan air terawat mengikut piawaian ditetapkan KKM.

“Kami sentiasa berusaha membekalkan air bersih kepada pengguna termasuk kawasan sekitar Simpang Renggam yang menerima air bersih terawat dari loji rawatan air (LRA) Simpang Renggam,” katanya.

Katanya, untuk maklumat lanjut boleh menghubungi SAJ Info Center menerusi talian 1 800 88 7474 atau SMS 019-7727474 atau menerusi e-mail customer.care@ranhill.com.my.

Berita berkaitan

Kotornya air…

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Disember 2018 @ 7:56 PM