Cabaran zaman digital

Kuala Lumpur: Gangguan digital menyebabkan banyak syarikat media tempatan dan global melakukan transformasi bagi menambah baik kandungan untuk kekal relevan.

Ketua Pegawai Eksekutif, The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) Datuk Seri Abdul Jalil Hamid berkata, gangguan digital itu mempengaruhi teknologi yang secara langsung mempengaruhi tingkah laku pengguna dan pendemokrasian kandungan.

Katanya, keadaan itu memerlukan anjakan dalam minda, budaya, proses dan sistem yang berita kini tidak lagi berpaksikan media cetak, tetapi didahului versi digital yang sentiasa ada mengikut permintaan 24 jam di hujung jari, di mana saja dan pada bila-bila masa.

“Sebagai sebahagian daripada Media Prima, NSTP berusaha meningkatkan pendapatan, mengurus kos dan kekal komited bagi memenuhi segmen pembaca serta pengguna yang kian meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Memeterai Perjanjian Bersama (CA) bagi penggal 2014-2017 antara NSTP dengan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) di Balai Berita di sini, semalam.

Abdul Jalil mewakili NSTP manakala NUJ di wakili Presidennya, Mohd Taufek Razak.

Turut hadir Ketua Pengarang NSTP Datuk Yushaimi Maulud Yahaya, Pengurus Kanan Sumber Manusia Kumpulan Nor Arzlin Redzwan, Setiausaha Agung NUJ Chin Sun Chew, Pengerusi Cawangan NSTP-NUJ Farah Marshita Abdul Fatah, Setiausaha Cawangan Lidiana Rosli dan Bendahari Mohd Nasaruddin Parzi.

Perjanjian CA baru itu memanfaatkan 363 wartawan bukan eksekutif daripada tiga produk penerbitan NSTP iaitu New Straits Times, BH dan Harian Metro.

Abdul Jalil berkata, walaupun berdepan dengan industri media yang semakin mencabar beliau gembira kerana CA baru itu, dimeterai

“Saya merakamkan setinggi penghargaan kepada kepemimpinan dan semua ahli NUJ atas sumbangan dan sokongan bagi memastikan inisiatif ini dilaksanakan.

“Syabas kepada kedua-dua pasukan yang terbabit rundingan bagi mencapai kesepakatan bagi faedah bersama ini,” katanya.