Wujud penyelewengan dalam pengurusan lama HRDF – Kula Segaran

Wujud penyelewengan dalam pengurusan lama HRDF - Kula Segaran

M. Kula Segaran berkata dua laporan polis telah dibuat oleh Pengurusan Tertinggi HRDF beberapa hari lalu.. – Gambar fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran mendedahkan wujud penyelewengan dana disatukan dan salah guna kuasa dalam pengurusan lama Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (HRDF).

Menurutnya susulan itu dua laporan polis telah dibuat oleh Pengurusan Tertinggi HRDF beberapa hari lalu.

“Laporan polis telah dibuat namun berkaitan butiran laporan itu kami tidak boleh dedahkan kerana ada undang-undang.

“Mereka (HRDF) telah mendapatkan nasihat guaman dan memang ada berlaku salah guna kuasa serta penyelewengan, jadi penyandang CEO telah buat laporan polis setelah mengetahui perkara ini,” katanya ketika berucap merasmikan HRDF Town Hall di Pusat Konvensyen HGH di sini hari ini.

Ketika ini ujar beliau lagi bukan masa untuk menuding jari kepada mana-mana pihak sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.

Selain penyelewengan dana, beberapa salah guna kuasa pengurusan terdahulu turut dikesan, dipercayai melanggar Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) 2001.

Jelasnya lagi, perkara itu diketahui selepas laporan Jawatankuasa Pemantauan Tadbir Urus (GOC) terhadap HDRF.

Dalam sidang media yang sama, beliau turut mengumumkan suntikan dana amanah disatukan dibawah KWSPM yang wujud sejak 2016 dihentikan serta merta.

Ia susulan cadangan GOC untuk menghentikan pengurangan 30 peratus levi daripada majikan kepada Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia.

“Pembayaran terakhir akan berkuatkuasa 15 November dan sumbangan akhir levi pada bulan Oktober,” kata beliau lagi.