Umno, Pas bergabung tolak ratifikasi ICERD


JOHOR BAHRU – Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu ahli parti bangkit menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).


Menurutnya, Umno sebagai sebuah parti orang Melayu terbesar di negara ini, berjanji tidak mengetepikan agama, bangsa dan budaya lain.


“Tetapi kalau kita dikehendaki kononnya untuk meratifikasikan ICERD, kita bangun. Umno terus bangun menolak ratifikasi ICERD.


“Itulah sebabnya 17 hari bulan ini, saya sanggup bersama presiden Pas untuk berada di satu pentas. Kenapa? Kerana ini bukan perjuangan kepartian, ini perjuangan kita,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan pemimpin dan ahli Umno Johor sempena lawatan kerjanya bersama Ahli Majlis Tertinggi Umno ke Johor di sini hari ini.


Ahmad Zahid berkata, ahli Umno dan orang Melayu harus mempertahankan hak yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.


Katanya, jika ratifikasi ICERD diterima, ia seolah Malayan Union 2.0 dan Umno wajib menentang perkara itu.


“Mana boleh. (Ini) bukan soal ketuanan Melayu, tetapi konsep Jus Soli, konvensyen ataupun sosial kontrak yang telah dipersetujui. Jangan lupa ada latar belakang kepada konsep itu dulu.


“Jangan apabila anak cucunya berada di negara kita ini, mereka perlu lupakan apa yang telah dipersetujui oleh datuk nenek mereka. Orang Melayu tidak akan pernah lupa perkara itu,” katanya.


Beliau berkata, tidak akan ada kompromi dan tolak ansur malah Umno mahu supaya ratifikasi ICERD ditolak oleh kerajaan demi kepentingan negara ini.