Turki henti cari mayat Jamal Khashoggi


ANKARA – TURKI. Polis Turki menamatkan pencarian mayat wartawan terkenal, Jamal Khashoggi, namun siasatan jenayah ke atas kes pembunuhannya akan diteruskan.


Semalam, al-Jazeera memetik kenyataan sumber pihak berkuasa melaporkan kesan asid ditemui di kediaman konsul umum Arab Saudi di Istanbul di mana mayat pengkritik lantang Putera Mahkota Mohammed Salman itu dipercayai dilupuskan menggunakan bahan kimia.


Kediaman itu terletak berhampiran Konsulat Riyadh di mana Khashoggi dibunuh kejam pada 2 Oktober lalu.


Difahamkan, penyiasat Turki dan Saudi telah melakukan pemeriksaan bersama di konsulat dan kediaman konsul terbabit, namun Presiden Recep Tayyip Erdogan mendakwa beberapa pegawai di premis itu masih cuba untuk menutup jenayah tersebut.


Erdogan telah beberapa kali menuntut Riyadh mendedahkan maklumat tentang kejadian itu dan pihak yang mengarahkan pembunuhan tersebut.


Riyadh juga didakwa tidak memberikan kerjasama dalam siasatan bersama tersebut.


“Mereka menolak permintaan Ankara untuk melakukan pemeriksaan di kediaman konsul umum tersebut selepas sampel bahan kimia ditemui di kawasan rumah terbabit,” lapor wartawan al-Jazeera.


Akhir bulan lalu, ketua pendakwa raya Istanbul memberitahu kolumnis The Washington Post itu telah dicekik sejurus beliau memasuki konsulat terbabit untuk menguruskan dokumen perkahwinannya selain mayatnya turut dikerat-kerat.


Saudi turut memberkas 18 individu dan memecat lima pegawai kanan kerajaan sebagai sebahagian daripada siasatan pembunuhan Khashoggi. – al-Jazeera