Tiga penjenayah warga asing mati ditembak

PULAU PINANG 10 Nov. – Polis menembak mati tiga penjenayah warga asing yang baru menyamun sebuah banglo di Puncak Bukit Mutiara, Tanjung Bu­ngah di sini, pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 pagi itu, ketiga-tiga suspek yang bersenjatakan parang dipercayai cuba menyerang polis yang meronda di satu kawasan gelap di dalam hutan berhampiran kawasan tersebut.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Pulau Pinang, Asisten Komisioner Rahimi Raais berkata, terdahulu pihaknya menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang memaklumkan telah menjadi mangsa sa­mun dan pecah rumah di sekitar kawasan itu.

Menurutnya, maklumat ter­sebut kemudian disalurkan kepada pasukan Op Rantau di situ sebelum mereka bergegas ke lokasi kejadian dan terserempak dengan suspek-suspek terbabit di pertengahan jalan.

“Ketiga-tiga suspek yang ber­usia dalam lingkungan 30-an mati di tempat kejadian. Pada masa yang sama, polis juga tidak menemukan pengenalan diri semua suspek,” katanya di lokasi kejadian, hari ini.

Rahimi memberitahu, de­ngan tertumpasnya ketiga-tiga suspek, polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes samun dan pecah rumah terutamanya yang berlaku dalam daerah Timur Laut sepanjang tahun ini.

“Untuk rekod, kita telah menerima tujuh laporan polis melibatkan suspek warga asing iaitu lima kes samun dan dua cubaan untuk samun pada tahun ini,” katanya yang membe­ritahu, mayat kesemua suspek telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk proses bedah siasat.