TFC tetap di hati Anas

KUALA TERENGGANU: Walaupun cuba dipancing Selangor dan FELDA United, tonggak pertahanan Terengganu FC (TFC), Nasrullah Haniff Johan lebih gembira kekal bersama skuad negeri itu musim depan.

Pengesahan itu dibuat sendiri pemain berasal dari Seremban sekali gus menamatkan teka-teki sebelum ini yang mengaitkan perpindahannya ke skuad Red Giants dan The Fighters.

“Saya akan terus kekal bersama TFC musim depan walaupun mendapat lamaran Selangor dan FELDA United.

“Keputusan ini langkah tepat demi karier saya selain misi membantu skuad Penyu memburu sekurang-kurangnya satu trofi yang masih belum dicapai,” kata pemain yang lebih mesra dipanggil Anas itu.

Pemain yang sering kali turun dalam kesebelasan utama bergandingan dengan Igor Zonjic di posisi pertahanan tengah itu menyertai TFC musim lalu.

Selain Nasrullah, bekas pemain Kuantan FA, Malik Mat Ariff dan Shahrul Aizad Zulkufli serta pertahanan kanan, Kamal Azizi Zabri turut mengesahkan kekal membarisi skuad itu musim depan.

Sementara itu Malik berkata, dia begitu teruja sambil mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu kerana masih memerlukan khidmatnya musim depan.

”Saya sudah perbaharui kontrak bersama TFC hingga 2019, justeru saya tekad mahu memperbaiki rekod musim ini selepas sekadar muncul naib juara Piala Malaysia dan kelima dalam saingan Liga Super,” kata pemain kelahiran Kuantan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 1:04 PM