Teruskan skim bantuan baucar buku

KEMENTERIAN Kewangan bersetuju dengan syor Kementerian Pendidikan supaya meneruskan skim bantuan baucar buku bagi mahasiswa.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, beliau membawa perkara berkenaan dalam mesyuarat kabinet semalam iaitu yang pertama sejak Belanjawan 2019 dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 2 November lalu.

“Kementerian Kewangan bersetuju untuk melihat perkara ini yang bertujuan membantu mengurangkan beban kewangan pelajar institusi pengajian tinggi.

“Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga melahirkan pandangan bahawa bantuan seumpama ini diteruskan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Maszlee berkata, beliau mengucapkan terima kasih atas kesudian Kementerian Kewangan dan Perdana Menteri dalam mempertimbangkan perkara berkenaan.

“Kami berharap akan ada berita menggembirakan dalam waktu terdekat. Seperti saya janjikan sebelum ini, saya akan memastikan kebajikan mahasiswa dijaga.

“Skim baucar buku satu daripada perjuangan saya buat mahasiswa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 10:55 AM