Tengku Amir selar kumpulan Omar

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak mengambil peduli tentang gertakan kumpulan yang memberi kata dua untuk menyingkirkan baginda daripada badan induk bola sepak negeri tersebut.

Tengku Amir bertitah, sebaliknya tindakan Kongres Luar Biasa (EGM) oleh Naib Presiden, Omar Ali yang baru dilantik pada EGM itu berperangai kebudak-budakan kerana dilihat mahu menarik pengaruh ahli gabungan dalam FAS.

Titah baginda, langkah yang cuba dimainkan kumpulan tersebut adalah satu rampasan kuasa tanpa mengikut saluran sah memandangkan EGM ber­kenaan adalah haram kerana me­langgar Statut FAS.

“Saya tiada masa untuk benda-benda tersebut apabila ada orang cuba bermain politik bagi merebut jawatan. Mereka salah dan tiada peluang (dalam isu tersebut).

“Sejak bermula isu (EGM) ini, saya sudah menjemput Presiden Kelab Bola Sepak Frenz United, Roslin Shariff dan Omar untuk menghadap sebanyak dua kali sejak Oktober lalu.

“Namun, mereka kurang ajar apabila tidak hadir dalam kedua-dua jemputan tersebut. Justeru, saya tiada sebab untuk memanggil mereka lagi kerana telah diberikan pe­luang sebelum ini,” titah ba­ginda pada sidang ­akhbar di Istana Mestika, Seksyen 7, Shah Alam semalam.

Turut hadir Timbalan Pre­siden FAS, Datuk Seri Shahril Mokhtar dan Setiausaha Agung FAS, Johan Kamal Hamidon.

Kosmo! semalam melaporkan sebahagian ahli gabungan FAS memberi kata dua kepada Tengku Amir untuk mengiktiraf keputusan EGM atau mereka terpaksa memilih presiden baharu buat badan induk bola sepak negeri tersebut.

Tengku Amir bertitah, Omar sebenarnya telah dipecat sebagai ahli Exco FAS mengikut prosedur Statut FAS pada 25 Oktober lalu.

Namun, apa yang menjadi kehairanan baginda ialah Omar dilantik sebagai Naib Presiden FAS pada EGM berkenaan. “Betulkah mereka ikhlas (dalam perjuangan). Peminat sudah penat dan marah selain mahu FAS berubah, namun masalah sama berlaku.

“Saya cukup sedih sebab dua bulan lalu kita buang masa untuk isu-isu yang tidak sepatutnya. Kita seharusnya menghentikan perkara ini dan fokus kepada agenda untuk membawa perubahan kepada FAS bagi mengembalikan kegemila­ngan pasukan bola sepak Sela­ngor,” titahnya.

Baginda bertitah lagi, segala tindakan undang-undang terhadap kumpulan EGM tersebut akan dibincangkan terlebih dahulu dengan peguam dan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Titah Tengku Amir, baginda tidak akan sesekali meninggalkan FAS, sebaliknya berusaha mempersiapkan pasukan utama dan penaja sebelum kempen Liga Malaysia (Liga M) bermula Februari tahun depan.

“Kita akan mengekalkan FAS dan mengambil langkah sepatutnya dalam membersihkan persatuan ini.

“Semangat saya tidak pernah luntur dalam FAS dan adalah lebih baik tidak banyak bercakap dan lebih mengutamakan kerja,” titahnya.

Dalam perkembangan lain, Tengku Amir menghargai nasihat diberikan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memandang­kan baginda amat menghormati TMJ sebagai seorang individu yang berkebolehan dalam bola sepak.

“Saya sendiri juga sering mendapat pandangan daripada Menteri Besar, Amirudin Shari yang pernah menjadi pengurus pasukan bola sepak Selangor,” katanya.