Tengku Amir diberi kata dua

KEMELUT yang membadai Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) membuka episod baharu apabila 52 daripada 96 ahli gabungan badan induk bola sepak negeri tersebut memberi kata dua kepada Presidennya, Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya mengiktiraf keputusan Kongres Luar Biasa (EGM) malam kelmarin.

Namun, jika Tengku Amir enggan berbuat demikian, Omar Ali yang baru dilantik sebagai naib presiden pada EGM tersebut menegaskan, ahli gabungan terbabit tidak teragak-agak sedia memilih presiden baharu bagi menerajui FAS.

Pada EGM yang diadakan di Hotel Nouvelle, Seri Kembangan itu, ahli gabungan terbabit sebulat suara mengekalkan Tengku Amir sebagai presiden, namun hampir 90 peratus jawatan lain dirombak termasuk kedudukan timbalan serta naib presiden FAS.

“Kami berharap Tengku Amir menerima keputusan ini, namun jika baginda enggan serta tetap menolak, semua ahli gabungan yang hadir tidak teragak-agak untuk memilih presiden baharu,” kata Omar.

Bagaimanapun, tidak sampai 24 jam EGM itu diadakan, Tengku Amir mengeluarkan kenyataan bahawa baginda tidak mengiktiraf sebarang keputusan dan pemilihan ahli jawatankuasa baharu kerana ia tidak memenuhi Artikel 30 yang termaktub dalam Statut FAS.