Sukar ratifikasi ICERD

KOTA BHARU 10 Nov. – Umat Islam dan orang Melayu di negara ini tidak perlu gusar atau berasa terancam dengan cada­ngan kerajaan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, tindakan meratifikasi ICERD bukan suatu proses yang mudah kerana memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, mana-mana perkara yang membabitkan pelaksanaan sesuatu dasar baharu di negara ini terlebih dahulu perlu melalui proses pindaan Perlembagaan yang memerlukan dua pertiga undi majoriti daripada 222 kerusi Parlimen.

Justeru, beliau berkata, orang Melayu tidak perlu bimbang kerana hak keistimewaan orang Melayu dan agama Islam dalam Perlembagaan bukan mudah di­pinda.

“Kita hormati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), namun kita di Malaysia ada cara sendiri untuk laksanakan perkara ini iaitu kena tengok Perlembagaan negara kita.

“(Umat Islam dan Melayu) tidak perlu bimbang apa-apa sebab hendak pinda Perlembagaan tidak mudah. Itu isu politik sahaja, bukan perkara baharu, sudah lama (dipolitikkan),” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Amanah Kelantan 2018 Kali Ketiga di sini, hari ini.

Hasrat kerajaan untuk me­ratifikasi ICERD menerima bantahan keras pelbagai pi­hak di seluruh negara ke­rana khuatir perkara itu akan mengganggu Perlembagaan Per­sekutuan serta menggugat ke­istimewaan Melayu dan Islam di negara ini.

Ekoran itu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini dilaporkan berkata, kerajaan memberi jaminan akan mengambil kira pandangan semua kaum sebelum ratifikasi ICERD dimuktamadkan kerana isu itu amat sensitif kepada setiap kaum di Malaysia.