Sistem e-Scroll tangani ijazah palsu

Sistem e-Scroll tangani ijazah palsu

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi KPM, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir berkata, tindakan mewujudkan e-Scroll bertujuan memelihara dan menjaga kualiti pendidikan tinggi di Malaysia. – Gambar hiasan

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Konsortium Universiti melancarkan Sistem Pengeluaran dan Pengesahan Universiti (e-Scroll) menggunakan teknologi Blockchain bagi mengatasi masalah ijazah palsu.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi KPM, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir berkata, tindakan mewujudkan e-Scroll bertujuan memelihara dan menjaga kualiti pendidikan tinggi di Malaysia.

Beliau berkata, bilangan ijazah palsu meningkat disebabkan ia boleh diperoleh dengan mudah di internet dan sebuah sistem yang selamat dan mantap diperlukan untuk mengatasinya.

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) muncul institusi pengajian tinggi pertama menggunakan sistem e-Scroll pada istiadat konvokesyen yang akan berlangsung Sabtu. Graduan akan menerima ijazah menggunakan kod khas sistem itu.

“Menyedari perlunya menjaga reputasi dan integriti universiti-universiti Malaysia, KPM telah mengambil tindakan proaktif untuk mencegah kes-kes penipuan ijazah palsu dan pada masa yang sama tidak merugikan penuntut-penuntut yang benar-benar jujur dan berintegriti,” kata beliau.

Jelas beliau, idea membangunkan sistem itu telah dirumuskan pada Januari 2018 oleh Majlis Dekan-dekan ICT (MADICT) universiti-universiti Malaysia.

Susulan rumusan itu, MADICT dan KPM bercadang menggunakan teknologi Blockchain untuk meningkatkan kecekapan dalam mengesahkan sijil yang asli, kata beliau.

Pada masa ini katanya, universiti-universiti Malaysia menerima ribuan permintaan dari seluruh dunia untuk tujuan pengesahan status ketulenan graduan masing-masing.

“Pengesahan sedemikian masih dilakukan melalui telefon dan e-mel yang boleh menyumbang kepada ketidakcekapannya,” kata beliau.

Sistem e-Scroll yang berasaskan teknologi Blokchain semasa telah dibangunkan oleh pasukan yang diketuai oleh Prof Dato Dr Norbik Bashah Idris dari UIAM.

Ia menggunakan Blockchain NEM yang disepadukan dengan imbasan kod QR yang dicetak pada ijazah.

Menyedari pakar-pakar dalam teknologi itu sebenarnya boleh didapati di universiti tempatan kata beliau, KPM mencadangkan pembentukan sebuah Konsortium Universiti berkaitan dengan teknologi Blockchain untuk mempelajari penggunaan dan mengembangkan sistem tersebut.

Keanggotaan awal konsortium itu terdiri daripada enam Universiti Awam (UA) iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM), UIAM, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Objektif utama di sebalik pembentukan konsortium adalah menyebarkan latihan kemahiran dan perkembangan teknologi dalam kalangan penuntut universiti dan akademik.

“Dalam jangka masa panjang, konsortium juga harus menawarkan penyelesaian berasaskan Blokchain standard, yang berpotensi untuk menjana pendapatan kepada¬† universiti-universiti terbabit.” kata beliau.

Kementerian juga telah melantik UIAM sebagai Ketua Konsortium semasa.

“Susulan pelancarannya, KPM menggalakkan universiti dan institusi pengajian tinggi lain di Malaysia untuk segera menyertai konsortium dan menggunakan sistem tersebut,” kata beliau.