PM tegur penjawat awam tak terima kerajaan baharu

PENJAWAT awam perlu akur dengan prinsip demokrasi dan menerima kerajaan baharu yang dipilih rakyat, bukannya terus menjadi alat kepada parti pemerintah lama.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ini kerana beliau mendapati terdapat antara pegawai kerajaan masih terikat dengan kerajaan lama dan tidak sanggup menerima kerajaan baharu.

Dr Mahathir berkata, penjawat awam sepatutnya mengutamakan tuntutan kerja sebagai anggota kerajaan yang berkhidmat untuk negara tanpa mengira parti mana yang memerintah.

“Kita mendapati jentera kerajaan diperalatkan oleh pemerintah lama sehingga menyebabkan ramai antara mereka bukan lagi berkhidmat untuk kerajaan sebaliknya demi parti.

“Apabila pemerintah baharu didirikan, maka jentera kerajaan menghadapi masalah kerana ada antara mereka yang mengikat diri dengan parti dahulu sehingga mereka seolah-olah turut merasa kalah dan masih ingin setia dengan parti terdahulu.

“Ini adalah perkara tidak baik untuk masa depan kerana kita (kerajaan) berada di sini adalah untuk menjayakan negara. Apabila kita terlalu taksub maka kita melakukan perkara yang salah kerana ingin kekalkan kuasa parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan serta negeri di KotaBharu, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, jika penjawat awam terus tidak berpegang kepada prinsip demokrasi, beliau khuatir negara akan hancur, tidak dapat dibangunkan, serta menjadi mundur.

Katanya, penjawat awam sepatutnya perlu berpegang kepada profesionalisme iaitu patuh kepada kerajaan yang menang pada PRU lalu.

“Kita tidak bermusuh dengan rakyat yang tidak sokong kita tapi kalau kita tidak pegang prinsip demokrasi bermakna kita akan lihat segala usaha mentadbir dan bangunkan negara akan berkecai.

“Saya yakin setiap seorang daripada kita yang bekerja dengan kerajaan mempunyai niat menunaikan kerja sebetulnya supaya dapat sumbang kepada pembangunan negara. Ini hasrat utama kita tapi ada yang terpesong,” katanya.

Pix Syamsi Suhaimi