Pingat daripada Sultan Perak pengiktirafan terbesar buat 'The Bos Gaurus'

Pingat daripada Sultan Perak pengiktirafan terbesar buat 'The Bos Gaurus'

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menganugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) kepada Pemain Bola Sepak Perak Mohd Nazrin Nawi sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah Ke-62 di Istana Iskandariah hari ini. – Foto Bernama

KUALA KANGSAR: Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic menyifatkan penganugerahan pingat yang diterima daripada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah merupakan satu pengiktirafan terbesar kepada pasukan ‘The Bos Gaurus’.

Selain Durakovic yang menerima Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP), 28 pegawai dan pemain pasukan Perak menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) selepas berjaya merangkul kejuaraan Piala Malaysia 2018 menewaskan Terengganu FC (TFC) dalam perlawanan akhir, 27 Okt lepas.

Durakovic berkata pihaknya amat berbesar hati dengan penghormatan diterima itu dan ia adalah usaha mereka bersama untuk menjulang Piala Malaysia selepas 18 tahun menanti.

“Saya sangat gembira dan ingin mengucapkan terima kasih kepada Sultan Perak kerana memberi saya anugerah ini. Ia satu penghormatan yang besar kepada saya selepas kali terakhir Perak memenangi Piala Malaysia 18 tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri istiadat penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat negeri Perak bersempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Nazrin Shah yang ke-62 di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Penerima Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) yang merupakan ketua jurulatih pasukan bola sepak Perak, Mehmet Durakovic (dua,kiri) bergambar bersama pasukannya pada istiadat penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat negeri Perak. - Foto Bernama
Ditanya mengenai kemasukan bekas pemain tengah Terengganu FC, J Partiban dalam pasukan itu, Durakovic yakin pemain berusia 26 tahun itu mampu beraksi dengan baik, sekali gus dapat memperkuatkan pasukan untuk menghadapi Liga Malaysia musim depan.

Bekas pemain Perak yang berhijrah ke Terengganu empat tahun lepas itu, menandatangani kontrak selama setahun bersama skuad The Bos Gaurus, Khamis lalu.

— BERNAMA