Peningkatan ahli Julau tidak sepatutnya jadi isu


GEORGETOWN – Peningkatan mendadak ahli PKR di Cabang Julau, Sarawak tidak sepatutnya menjadi isu kerana kelulusan permohonan kemasukan ahli dibuat oleh biro politik parti tersebut.


Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pemimpin PKR yang mempersoalkan perkara tersebut sebenarnya turut berada dalam Biro Politik PKR yang meluluskan permohonan kemasukan ahli parti.


Menurutnya, tempoh bantahan telah dibuat namun Biro Politik tidak menerima sebarang bantahan dari cabang tersebut.


“Dalam permohonan ahli baru, setiap cabang boleh membuat bantahan sekiranya mereka tahu sama ada ahli itu tidak wujud; pernah menjadi ahli parti lain, bankrap, ada kes jenayah dan sebagainya. Di Cabang Julau, ada 600 ahli pada 20 tahun lalu.


“Tetapi apabila ahli Parlimennya menang, maka dia masuk PKR. Maka, dia membawa penyokongnya sekali. Di Julau, profil pengundinya adalah rumah panjang. Satu rumah panjang, ada 100 hingga 120 keluarga iaitu 500 orang.


“Maka tidak hairanlah jika alamat mereka semua sama. Ahli Parlimen Julau, Larry Soon menghantar senarai ahli pada 12 Jun di ibu pejabat parti yang mana, tarikh tutup adalah 26 Jun,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang Sekolah Kebangsaan Sungai Nibong di sini, tadi.


Menurutnya, sehingga tarikh tutup bantahan iaitu pada 17 Julai lalu, mana-mana ahli Biro Politik PKR tidak menerima walau satu bantahan dari Cabang Julau.


“Jika tiada bantahan, bagaimana kita nak tahu yang dikatakan 13,000 orang itu tidak tahu keahlian mereka? Cuba ada bantahan, baru kita boleh tahu. Biro politik mengadakan mesyuarat seminggu sekali, tetapi langsung tak ada bantahan.


“Yang meluluskan keahlian parti adalah biro politik, bukan setiausaha agung. Setiausaha agung hanya keluarkan pekeliling sahaja. Apabila ada suara-suara yang mempertikaikan, jadi pelik kerana bukankah kita sama-sama yang meluluskan (permohonan kemasukan ahli)?” katanya.


Tambahnya, biro berkenaan turut dianggotai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, beliau sendiri serta beberapa pemimpin lain termasuk Nurul Izzah Anwar, Zuraida Kamaruddin , Tian Chua dan Rafizi Ramli.


Difahamkan, Cabang Julau kini menjadi tumpuan apabila bakal menjadi detik penentu kepada persaingan sengit membabitkan Mohamed Azmin dan Rafizi untuk jawatan Timbalan Presiden PKR.


26 Oktober lalu, Ketua Penerangan PKR Sarawak, Vernon Kedit membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada wujud penyelewengan berhubung status keahlian PKR Cabang Julau.


Beliau dalam akuan bersumpah (SD) bertarikh 17 Oktober itu, menyatakan rasa kebimbangan berhubung kewujudan ahli palsu di Cabang Julau.


Ini kerana, ahli di situ dilaporkan meningkat mendadak daripada hanya 603 pada 26 Jun kepada 13,000 sehari kemudiannya.