Pemimpin dan ahli PKR jangan bersikap seperti UMNO – Saifuddin

PULAU PINANG 10 Nov. – Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menasihatkan pemimpin dan ahli-ahli parti itu elakkan bersikap seperti UMNO.

Saifuddin berkata, beliau menyedari pelbagai persepsi yang timbul di kalangan rakyat terhadap PKR selepas berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan kerana parti itu kini berdepan beberapa isu termasuk pemilihan parti yang panas.

Katanya, pemimpin-pemimpin PKR perlu sedar mengapa UMNO ditolak oleh rakyat dan sehubungan itu PKR seharusnya menghindari sikap seperti itu.

“Saya tidak mahu menjawab dakwaan PKR sekarang mirip kepada UMNO. Cuma harapan saya, segala yang menjadi amalan UMNO sehingga ditolak rakyat, kita tidak patut ikut.

” Jika pemimpin dan ahli PKR telah dan sedang bersikap seperti itu, tolong berhenti. Sekiranya ada yang berhajat untuk melakukan perkara itu, jangan teruskan,” katanya selepas merasmikan Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Kebangsaan Sungai Nibong di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE.