Pemilihan PKR Kota Samarahan kecoh disebabkan pembesar suara

KOTA SAMARAHAN 10 Nov. – Proses pemilihan PKR cabang Kota Samarahan berlangsung di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di sini hari ini, kecoh selepas berlaku pertikaian berpunca alat pembesar suara.

Rasa tidak puas hati timbul dalam kalangan penyokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana tidak berpuas hati dengan tindakan penyokong Rafizi Ramli menggunakan pembesar suara untuk berkempen dan merayu undi.

Mereka kemudian mengemukakan bantahan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR berhubung penggunaan alat pembesar suara tersebut.

Calon Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Mansor Othman berkata, penggunaan alat pembesar suara memang tidak dibenarkan untuk proses kempen dan merayu undi, malah ia sebahagian daripada syarat perlu dipatuhi kesemua penyokong calon bertanding.

“Penggunaan alat pembesar suara boleh menimbulkan provokasi yang tidak sihat di kalangan ahli,” katanya ketika ditemuiĀ  di sini sebentar tadi.

Sementara itu, tjnjauan di pusat pengundian cabang Kota Samarahan mendapati proses pemilihan berjalan lancar walaupun terdapat sedikit kekecohan akibat penggunaan pembesar suara berkenaan.

Mansor ketika mengulas lanjut, berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada pihak jawatankuasa untuk menentukan sebarang tindakan susulan.

“Secara keseluruhannya berdasarkan pemerhatian proses pemilihan di Sarawak berjalan dengan lancar dan baik,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE

Lebih 1,000 ahli cabangĀ  Kota Samarahan melakukan pengundian hari ini.