Pelantikan Abdul Wahid berdasarkan perbincangan dan merit – Maszlee

KUALA LUMPUR – Pelantikan tokoh korporat Tan Sri Abdul Wahid Omar sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang baharu dibuat berdasarkan perbincangan dan merit.

Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata, keputusan melantik bekas menteri kabinet itu juga dibuat selepas mendapat kelulusan pihak tertinggi kementerian. 

“Saya dalam apa-apa keputusan pelantikan, kita akan buat berdasarkan perbincangan dan kita melihat kepada merit,” katanya bagi mengulas kenyataan Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin di blognya mengenai pelantikan Abdul Wahid. 

Terdahulu, beliau menyampaikan Anugerah Ibnu Khaldun dan skrol kepada graduan sempena majlis konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-34 di Kampus Gombak di sini.

Kadir dilaporkan berkata, beliau ‘bingung’ dengan tindakan Maszlee melantik bekas Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) itu sedangkan sebelum ini Abdul Wahid telah digugurkan daripada PNB. 

“Kami menghormati pandangan Kadir Jasin sebagai orang lama, orang yang berpengaruh dan jika anda (wartawan) pertikai kerana dia (Abdul Wahid) dalam kerajaan terdahulu, ramai lagi pegawai-pegawai kerajaan daripada kerajaan terdahulu. – Bernama