MB jumpa PM bincang masa depan Kelantan

KOTA BHARU 10 Nov. – Sempena lawatan kerja Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad ke Kelantan hari ini, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob turut memanfaatkan peluang itu dengan membuat kunjungan hormat terhadap beliau.

Ahmad memberitahu, dalam pertemuan tersebut, mereka banyak berbincang tentang masa depan Kelantan dan bagaimana Kerajaan Pusat boleh membantu memajukan negeri ini yang majoriti penduduknya adalah orang Melayu.

Dalam masa sama katanya, beliau sebagai tuan rumah turut memanfaatkan pertemuan itu bagi meraikan kehadiran Dr. Mahathir sebagai tetamu.

“Tiada sebarang perkara baharu hanya perkara lama berkaitan masa depan Kelantan. Tun kata Kelantan ini ramai orang Melayu, dan insya-Allah kita boleh sama-sama duduk berbincang. Kita kena banyak usaha.

“Saya beritahu Tun, banyak peluang dalam sektor pertanian di negeri ini. Kalau boleh kita harap dapat dibantu Pusat. Contohnya Naim Beef (daging lembu berkualiti tinggi keluaran Kelantan). Kita sudah ada padang ragut yang luas,” katanya ketika ditemui pemberita.

Ahmad bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkembangan terkini berkaitan pembayaran royalti minyak oleh Kerajaan Pusat terhadap Kerajaan Pas Kelantan.

Pertemuan antara kedua-dua pemimpin tersebut dibuat secara tertutup dan berlangsung kira-kira setengah jam di Hotel Emaslink Pacific, di sini.

Dr. Mahathir ditemani Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Datuk Kamaruddin Mohd. Nor manakala Ahmad ditemani Pengerusi Jawatankuasa Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan Dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat. – UTUSAN ONLINE