Masih tak percaya jadi PM kali kedua

TUN Dr Mahathir Mohamad masih tidak percaya beliau diberi peluang kali kedua menjadi Perdana Menteri selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Saya sendiri cubit diri sendiri sama ada betulkah saya menjadi Perdana Menteri sekali lagi.

“Malah, kadang-kadang tidak dapat difikirkan mereka (parti komponen Pakatan Harapan) sudah berada dalam kerajaan, sebaliknya mereka sendiri berfikir masih dalam pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra yang dihadiri kira-kira 1,000 kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, beliau yakin PH akan mendirikan kerajaan di Kelantan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, ini kerana, hasrat PH adalah untuk berkhidmat kepada negara dan bangsa, bukan seperti pemerintah dahulu yang sudah lari daripada perjuangan.

“Dahulu, parti lawan yang cuba menjatuhkan Barisan Nasional (BN) tidak pernah berjaya kerana mereka hanya tumpukan kepada parti masing-masing, bukannya perjuangan negara sehingga berfikiran selama-lamanya menjadi pembangkang.

“Sebab itu apabila cuba bergabung untuk mendirikan parti campuran, mereka gagal kerana ada yang tidak setia, tidak taat kepada janji dan pada PRU, mereka masih mementingkan parti masing-masing.

“Namun kali ini kesedaran sudah timbul khususnya empat parti yang bersetuju bergabung dan berjuang sebagai parti campuran. Disebabkan ini rakyat tidak keliru dan dapat memberi sokongan sehingga membawa kemenangan besar yang tidak dapat dinafikan pihak pemerintah ketika itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 9:45 PM