Luar mahal, dalam murah

KUALA LUMPUR: Asalkan membawa keuntungan apa saja boleh diniaga termasuk barang keperluan harian iaitu beras turut diciplak di negara ini dan dijual menggunakan jenama popular.

Beras yang digunakan pula menggunakan gred paling rendah kualiti berbeza dengan gred beras asli digunakan jenama berkenaan.

Ia kemudian dipek menggunakan bungkusan menyamai jenama asli seberat 10 kilogram setiap satu dan dijual pada harga runcit sama seperti jenama terkenal itu.

Bagaimanapun, kegiatan penjualan beras ciplak dipercayai berlaku sejak 2015 di Lembah Klang itu berjaya dihidu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur yang merampas 574 kampit beras menggunakan jenama popular tempatan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri, Low Swee Hon berkata, bertindak atas maklumat empat pegawai KPDNHEP melakukan serbuan di sebuah premis di Pusat Bandar Utara Selayang, Batu Caves, dekat ini, jam 12.30 tengah hari kelmarin.

Katanya, serbuan itu turut disertai pemilik cap dagangan jenama beras berkenaan yang mengenal pasti beras menggunakan jenama diciplak.

“Hasil pemeriksaan, premis itu didapati menjual dan mengedar beras menggunakan cap dagangan palsu.

SEBANYAK 574 kampit beras menggunakan jenama popular tempatan ditemui dalam premis berkenaan.

“Sebanyak 574 kampit beras setiap satunya seberat 10 kilogram disahkan sebagai tiruan oleh wakil cap dagangan jenama berkenaan yang turut serta dalam pemeriksaan dijalankan semalam (kelmarin),” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Low berkata, wakil syarikat berkenaan mengenal pasti pek pembungkusan yang digunakan adalah tiruan dan beras itu juga berkualiti rendah berbeza dengan dijual mereka.

BERAS yang digunakan gred paling rendah kualiti berbeza dipek menyamai dengan gred beras asli.

Katanya, semua 574 kampit beras itu yang dianggarkan bernilai RM14,924 disita KPDNHEP.

“Kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan kita masih menyiasat sama ada ia turut dijual di premis lain sekitar Lembah Klang selain di premis yang diserbu ini.

“Selain itu, KPDNHEP Kuala Lumpur turut menyiasat dan mengenal pasti sama ada beras tiruan berkenaan dibungkus di dalam negara atau dibawa masuk ke negara ini secara seludup dari negara jiran,” katanya.