Lelaki ditahan terlibat pecah rumah

KEPALA BATAS 10 Nov. – Seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah di Permatang Tinggi A dekat sini Rabu lalu ditahan tengah hari semalam.

Suspek ditahan pukul 12.15 tengah hari di Penaga susulan tangkapan ke atas seorang rakannya selepas mereka memecah masuk sebuah rumah kira-kira pukul 10 malam 7 November lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, hasil soal siasat, suspek mengaku terlibat bersama rakannya itu memecah masuk rumah mangsa dan melarikan pelbagai barangan dan wang tunai bernilai RM10,000.

“Dalam kejadian itu pemilik rumah terbabit menyedari kelibat mereka selepas memecah masuk rumahnya dan anak mangsa berjaya menahan salah seorang suspek manakala rakannya sempat melarikan diri.

“Susulan tangkapan itu, polis berjaya menahan suspek kedua di Penaga semalam dan mengaku terlibat dalam kejadian itu. Dia juga mengaku menerima RM2,000 daripada rakannya sebelum melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, polis turut merampas sebuah beg sandang dan wang tunai berjumlah RM1,800 daripada suspek yang positif dadah jenis methamphetamine namun tidak memiliki rekod jenayah itu.

Jelas Noorzainy, lelaki itu ini ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE