Lebih 200 pasar tani akan dibuka di seluruh negara menjelang


JOHOR BAHRU – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) merancang membuka sebanyak 265 pasar tani di seluruh negara menjelang 2020.


Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Usahawan)nya, Datuk Dr Mat Sani Hassan berkata, pada masa kini terdapat 735 pasar tani di seluruh negara.


“Menjelang 2020, kita mensasarkan terdapat 1,000 pasar tani di seluruh negara bagi menampung keperluan penduduk setempat.


“Pada masa kini, terdapat 735 pasar tani di seluruh negara membabitkan perolehan nilai urus niaga sekitar RM1.5 hingga RM2 bilion setahun,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Pelancaran Kempen Pasar Tani Bersih Peringkat negeri di Pasar Tani Perling Mall.


Hadir sama; Pengarah Fama negeri, Alwi Anang serta Pengerusi Pasar Tani Kebangsaan dan negeri, Awi @ Sapawi Johari


Mat Sani berkata, berikutan itu, pihaknya memohon kerjasama dan bantuan pelbagai pihak terutamanya pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menyediakan ruang atau tapak berniaga bagi kegunaan pasar tani.


“Mencapai sasaran itu bukan satu masalah kerana kita mempunyai peruntukan yang cukup bagi menyediakan peralatan buat usahawan tani kita, tetapi kita memerlukan kerjasama PBT khususnya dalam penyediaan ruang dan tapak berniaga,” katanya.


Beliau berkata, pasar tani di seluruh negara kini mampu menerima lebih 10 juta pengunjung setahun dan dipercayai kerana keistimewaannya yang menawarkan seperti jualan produk segar pada harga yang berpatutan.