Kurang 1% bayar saman AWAS

KURANG satu peratus daripada pesalah lalu-lintas tampil menjelaskan saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) sejak penguatkuasaan pada 1 September lalu.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, selepas sistem Kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) diganti dengan AWAS, 63,750 saman dikeluarkan membabitkan kesalahan melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat merah.

“Daripada jumlah saman dikeluarkan sekitar 1 September hingga 7 November itu, hanya 1,675 saman dibayar oleh pesalah membabitkan kutipan RM498,000.

“Yang lain, mungkin selepas tamat tempoh dua bulan, kita akan ambil tindakan mahkamah ke atas pesalah ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas Pegawai Pengangkutan Jalan Gred KP19 dan AB19, di Akademi Latihan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Tiang Dua, Jasin, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah JPJ Malaysia, Datuk Seri Shaharuddin Khalid.

Pada majlis itu, 213 pelatih JPJ menamatkan kursus latihan asas Pegawai Pengangkutan Jalan Ged KP19 dan AB 19.

Kamarudin berkata, daripada jumlah 63,750 saman dikeluarkan itu, 52,747 saman dikeluarkan terhadap kereta yang melebihi had laju manakala 3,785 saman ke atas kereta yang melanggar lampu isyarat merah.

Manakala bagi pengguna motosikal, 4,945 saman dikeluarkan atas kesalahan menunggang melebihi had laju dan 318 melanggar lampu isyarat merah.

Selebihnya, lain-lain kenderaan seperti lori, bas dan teksi, 1,648 bagi kesalahan melebihi had laju dan 307 melanggar lampu isyarat merah.

Sementara itu, Shaharuddin berkata, jumlah 1,648 saman ke atas lain-lain kenderaan bagi memandu melebihi had laju dianggap serius kerana membabitkan kenderaan besar seperti bas serta lori selain juga pengangkutan awam seperti bas dan teksi.

“Kita memandang serius jumlah saman yang dikeluarkan bagi memandu melebihi had laju ini dan melebihi 1,000 saman itu sudah dianggap tinggi.

“Tujuan kita melaksanakan undang-undang ini bukan semata-mata mahu memungut saman tapi mahu membendung kadar kematian dan kemalangan,” katanya.

Dalam pada itu, Shaharuddin berkata, pihaknya sentiasa memandang serius salah laku anggota dan pegawainya, namun setakat ini hanya 12 orang disiasat terbabit dengan disiplin membabitkan pelbagai kes.

Beliau berkata, bahagian penguatkuasaan dan kakitangan di bahagian kaunter JPJ paling berisiko melakukan kesalahan terutamanya membabitkan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).