KKM sedia iktiraf hospital swasta jadi hospital rakan bayi


PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedia membantu hospital-hospital swasta mendapat pengiktirafan sebagai Hospital Rakan Bayi, satu usaha untuk mempromosi dan menyokong amalan penyusuan susu ibu dalam lingkungan sistem kesihatan di negara ini.


Menteri Kesihatan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata pada masa ini hanya terdapat 19 daripada 175 hospital swasta yang melaksanakan inisiatif Hospital Rakan Bayi.


“Bukanlah sesuatu yang sukar untuk diiktiraf sebagai Hospital Rakan Bayi. Kami (KKM) bersedia  untuk membantu. Pihak hospital swasta hanya perlu mematuhi 10 Langkah Penyusuan Susu Ibu yang Berjaya.


“Selain itu, pengkongsian pengalaman hospital swasta yang berjaya mendapat pengiktirafan diharapkan akan mengalakkan lebih banyak hospital swasta melaksanakan Hospital Rakan Bayi,” katanya kepada pemberita pada satu sidang media selepas menghadiri sesi dialog berkenaan pelaksanaan inisiatif Hospital Rakan Bayi di hospital swasta di sini hari ini.


Hadir sama ialah Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Datuk Dr Kuljit Singh.


“10 Langkah Penyusuan Susu Ibu yang Berjaya” (ten steps to successful breastfeeding) termasuk  memberitahu semua ibu mengandung tentang kebaikan dan pengurusan penyusuan susu ibu, membantu ibu-ibu memulakan penyusuan susu ibu dalam masa setengah jam selepas kelahiran, mengamalkan penyusuan di sisi ibu yang membenarkan ibu dan anak bersama-sama selama 24 jam sehari.


Langkah-langkah ini adalah standard dunia untuk mendapat pengiktirafan sebagai Hospital Rakan Bayi yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu.


Sementara itu, Dr Kuljit berkata APHM menyasar peningkatan dua hingga tiga kali ganda bilangan Hospital Rakan Bayi di hospital swasta menjelang 2020.


Beliau berkata doktor dan jururawat di hospital swasta perlu memainkan peranan dengan memberi pendedahan kepada ibu-ibu berhubung kebaikan penyusuan susu ibu.


“Ibu bapa mungkin fikir susu formula adalah cara yang lebih mudah. Oleh sebab itu, kita perlu aktif menerangkan kepada mereka mengenai kebaikan memberikan susu ibu.


‘Kini, terdpat 19 hospital swasta telah melaksanakan inisiatif ini. Maka, bukan satu masalah besar untuk hospital swasta lain untuk melaksanakannya pada masa akan datang,” katanya.


Sebanyak 136 hospital awam yang menyediakan perkhidmatan bersalin di bawah KKM, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pertahanan yang diberi pengiktirafan sebagai Hospital Rakan Bayi.- Bernama