Kerajaan cari kaedah terbaik bayar royalti minyak kepada Kelantan – Tun Mahathir

Kerajaan cari kaedah terbaik bayar royalti minyak kepada Kelantan - Tun Mahathir

Menurut Tun Mahathir, kerajaan akan meneliti kaedah terbaik supaya Kelantan dapat menikmati hasil tuntutan royalti yang dikemukakan. – Foto Bernama

KOTA BHARU: Kerajaan masih meneliti tuntutan royalti petroleum yang dikemukakan kerajaan Kelantan sebelum sebarang keputusan dibuat mengenai perkara itu.

Beliau menjelaskan, pengiraan tuntutan sebelum ini ialah 20 peratus hasil pengeluaran keseluruhan, namun jumlah itu dilihat tidak munasabah dan membebankan syarikat minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Justeru itu kerajaan akan meneliti kaedah terbaik supaya Kelantan dapat menikmati hasil tuntutan royalti yang dikemukakan.

“Kita sedang berusaha bagaimana hendak beri royalti kepada Kelantan. Caranya belum tentu lagi. 20 peratus bukan dari keseluruhan, tetapi 20 peratus dari keuntungan, mereka (Kerajaan Negeri Kelantan) tidak bersetuju.

“Mereka hendak jadikan sebahagian kos keseluruhan bermakna 40 peratus. Petronas akan bankrap,” katanya di sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Pakatan Harapan (PH) Kelantan di sini siang tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pembayaran royalti minyak sebanyak lima peratus yang dituntut oleh Kerajaan Pas Kelantan.

Sebelum ini kerajaan PH dalam manifestonya Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) antara lain berjanji untuk mengembalikan 20 peratus royalti tuntutan petroleum oleh kerajaan negeri itu.

Menyentuh mengenai nasib nelayan, petani dan pekebun kecil yang bakal terjejas pada musim tengkujuh ini, beliau berkata kerajaan akan mencari kaedah sesuai untuk membantu mereka.