Kerajaan akan kaji pandangan keluarga mangsa bunuh

KERAJAAN Persekutuan akan mengkaji pandangan ahli keluarga mangsa kes pembunuhan berprofil tinggi yang tidak bersetuju dengan cadangan memansuhkan hukuman mati mandatori.

Mereka tidak bersetuju kerana mendakwa tidak adil dan akan menyumbang kepada peningkatan kes jenayah berat.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kajian itu amat diperlukan untuk memastikan sama ada dakwaan mereka tepat ataupun tidak.

Katanya, kerajaan tidak boleh membuat penilaian melainkan ada kajian yang menunjukkan terdapat peningkatan atau tidak dalam kes jenayah berat.

“Kita (kerajaan) mengambil berat terhadap pendapat mereka (keluarga mangsa) dan akan mengkajinya secepat mungkin,” katanya.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan dan Sesi Penerangan Parti Komponen Pakatan Harapan (PH) di Kota Bharu, hari ini.

Beliau mengulas mengenai desakan ahli keluarga mangsa kes pembunuhan berprofil tinggi supaya kerajaan tidak memansuhkan hukuman mati mandatori kerana ia didakwa tidak adil dan hanya akan menyumbang kepada peningkatan kes jenayah berat di negara ini.

Kes itu membabitkan pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya; Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais dan pegawai bank, Wong Jing Kui.

Pada 27 Oktober lalu, NSTP melaporkan kerajaan masih belum memuktamadkan keputusan untuk memansuhkan hukuman itu kerana dalam proses membuat konsultasi dan kajian mengenainya.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipetik berkata kementerian juga sedang mendapatkan maklum balas pelbagai pihak sebelum ia dibentangkan kepada Kabinet.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 11:55 PM