Kaum Cina digalak belajar di MRSM


SHAH ALAM – Pelajar Cina digalakkan melanjutkan pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kerana mutu kursus ditawarkan setaraf dengan peringkat antarabangsa.


Demikian dinyatakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Sivarasa Rasiah ketika ditemubual oleh Sin Chew Daily, semalam.


“Selepas saya dilantik sebagai timbalan menteri dan mengadakan beberapa mesyuarat dengan kementerian berkaitan, saya amat terkejut apabila mendapati ramai bukan Bumiputera tidak mengetahui langsung adanya kuota 10 peratus terbuka kepada pelajar bukan Bumiputera di MRSM.


“Berlakunya keadaan ini adalah disebabkan tiada maklumat sehingga tidak mampu menarik pelajar bukan Bumiputera melanjutkan pelajaran di sana,” katanya.


Menurut Sivarasa, bahasa pengantar yang digunakan dalam pembelajaran adalah bahasa Inggeris, manakala pensyarah yang diambil adalah berkualiti, selain hampir keseluruhan kos pengendaliannya ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.


Kata Sivarasa, buat masa ini, terdapat 37,000 pelajar sedang mengikuti pelajaran mereka di 54 MRSM di seluruh negara dengan 3,700 pelajar ataupun 10 peratus sebagai kuota kepada pelajar bukan Bumiputera.


“Ketika ini hanya 285 pelajar didapati memasuki MRSM, daripada jumlah itu, 67 pelajar terdiri daripada Cina, iaitu 23 lelaki dan 44 perempuan,” katanya.


Beliau memberitahu, kementerian pada ketika ini akan berusaha meningkatkan jumlah pelajar bukan Bumiputera di MRSM sehingga memenuhi syarat kuota 10 peratus dalam tempoh dua tahun akan datang.


“Langkah-langkah yang akan diambil kementerian seterusnya ialah apakah perlu meminta peruntukan lebih banyak kepada MRSM dan menambah jumlah MRSM sedia ada, serta menambah jumlah kuota untuk pelajar bukan Bumiputera,” katanya.