Kantoi edar ekstasi

POLIS menahan seorang lelaki dan seorang wanita selepas dipercayai terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah jenis ekstasi di pusat hiburan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, 4 November lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Shanmugamoorthy Chiniah berkata, hasil maklumat diterima, pihaknya membuat serbuan di premis berkenaan pada 3.30 pagi dan menahan kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 24 tahun.

“Hasil pemeriksaan dilakukan menemui satu bungkusan serbuk dadah jenis ekstasi dengan anggaran berat 316.39 gram, lima paket dadah jenis ketamin (5.57 gram) dan satu botol air dipercayai campuran dadah jenis ekstasi (250 mililiter).

“Semua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai lebih RM32,000,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Shanmugamoorthy berkata, kedua-dua suspek direman selama enam hari bermula 6 hingga 11 November ini mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

“Dengan kejayaan tangkapan ini, kami berjaya menumpaskan satu sindiket yang aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata, semua pihak diseru supaya memerangi jenayah dadah kerana kegiatan itu akan merosakkan masyarakat dan masa depan negara jika tidak ditangani dengan segera.

“Usaha berterusan akan dilaksanakan untuk membasmi masalah dadah dan jenayah di ibu kota ini.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas kerjasama mereka terhadap kejayaan dan tangkapan dilakukan hasil maklumat diterima. Pihak polis juga menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat dalam membantu membanteras gejala tidak sihat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 10:16 PM