ICERD: Umat Islam, Melayu tidak perlu bimbang

KOTA BHARU 10 Nov. – Parti Amanah Negara (Amanah) tidak menganggap cadangan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sebagai satu ancaman kepada Islam dan kaum bumiputera, terutama orang Melayu di negara ini.

Presidennya, Mohamad Sabu berkata, sebarang bentuk pelaksanaan dasar baharu selepas ICERD diratifikasi masih tertakluk kepada garis panduan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kata beliau, jika pelaksanaan tersebut didapati bertentangan dengannya, Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda namun usaha untuk meminda perlembagaan merupakan satu perkara yang sukar.

“Kita hormati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) namun kita di Malaysia ada cara sendiri untuk implemen perkara ini iaitu kena tengok perlembagaan negara kita.

“(Umat Islam dan Melayu) tak perlu bimbang apa-apa sebab nak pinda perlembagaan tak mudah. Itu isu politik sahaja, bukan perkara baharu, sudah lama (dipolitikkan),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Amanah Kelantan 2018 Kali Ketiga di sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa dan Pengerusi Amanah negeri, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah. 

Hasrat kerajaan untuk meratifikasi ICERD menerima bantahan keras pelbagai pihak di seluruh negara kerana khuatir perkara itu akan mengganggu Perlembagaan Persekutuan serta menggugat keistimewaan Melayu dan Islam. 

Ekoran itu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini dilaporkan berkata, kerajaan memberi jaminan akan mengambil kira pandangan semua kaum sebelum ratifikasi ICERD dimuktamadkan kerana isu itu amat sensitif kepada setiap kaum yang terdapat di negara ini. – UTUSAN ONLINE