ICERD: Kenapa sekarang mahu ratifikasi?

KUALA LUMPUR 10 Nov. – Tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) secara tiba-tiba mahu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dipersoalkan.

Sedangkan, untuk tempoh berpuluh tahun sebelum ini, termasuk ketika era pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad kali pertama menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, isu ratifikasi itu tidak dibangkitkan.

Persoalan itu disuarakan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang khuatir ada niat di sebalik komitmen kerajaan mahu meratifikasi konvensyen antarabangsa itu.

“Justeru itu, kita ingin tahu, kenapa kini isu ratifikasi ICERD ditimbulkan? Sedangkan sejak dahulu ICERD sebenarnya sama sahaja isi kandungannya dan dahulu ia tidak pun dibincangkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Shamsul Anuar menyifatkan semua ini berlaku kerana Dr. Mahathir sudah tidak boleh mempertahankan kepentingan orang Melayu dan bumiputera.

Dakwa beliau, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan jumlah 14 kerusi Parlimen gagal mengawal kehendak sekutu mereka terutamanya DAP.

“Oleh itu, UMNO bertegas meminta kerajaan PH menolak ICERD walaupun DAP dan beberapa pemimpin Melayu dalam Bersatu dan PKR menyokongnya,” tegas beliau.

Shamsul Anuar memberitahu, tiada apa yang merugikan negara sekiranya tidak meratifikasi konvensyen itu.

“Tidak perlulah kita mengikut acuan pihak lain untuk mentadbir negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE