Hanya diperguna jika lompat parti

JOHOR BAHRU 10 Nov. – Ahli-ahli Parlimen UMNO yang ingin melompat parti jelas hanya akan diperguna untuk mencukupkan bila­ngan kerusi bagi memperkuatkan Pakatan Harapan (PH).

Presiden UMNNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi percaya, usaha untuk menarik ahli-ahli Parlimen UMNO itu akan terus dilakukan, namun yakin ahlinya sudah membuat keputusan akan terus bersama-sama dengan UMNO.

“Mereka akan berusaha menarik ahli-ahli Parlimen ini untuk memperkuatkan parti yang bergabung dalam PH dan kita sudah tahu bahawa keputusan mereka tidak akan menerima ahli Parlimen yang melompat.

“Kecuali mereka jadi Bebas dahulu dan disebutkan oleh pemimpin utama parti berke­naan bahawa hanya mereka yang kononnya telah ‘taubat nasuha’ akan diterima dan saya harap ia cukup jelas untuk rakyat,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan bersama Ahli Majlis Ter­tinggi UMNO di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Johor di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang me­ngaku menyuruh Ahmad Zahid membubarkan UMNO kerana parti itu sudah tiada prinsip perjua­ngan.

Ahmad Zahid menegaskan, pendirian UMNO sehingga kini jelas tidak akan membubarkan parti walaupun diminta berkali-kali untuk berbuat demikian oleh Perdana Menteri itu.

Tegasnya lagi, UMNO bukan hanya sebuah parti berdaftar dan parti politik untuk orang Melayu tetapi hakikatnya adalah sebuah institusi sosial orang Melayu tanpa mengetepikan kaum lain di negara ini.

“Oleh yang demikian tidak munasabah seseorang yang pernah menikmati kedudukan atas dasar mewakili UMNO hingga menjadi pemimpin negara dan dikenali seantero dunia, permintaannya tidak munasabah dan insya-Allah UMNO akan bangkit,” katanya.