Hanya diperalat jika lompat parti – Zahid

JOHOR BAHRU 10 Nov. – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan ahli parlimen parti tersebut yang ingin menyertai Pakatan Harapan (PH) hanya akan diperguna untuk memperkuat parti tertentu dalam pakatan itu.

Beliau berkata, walaupun ada usaha supaya pelompatan parti dilakukan, namun ahli parlimen mereka membuat keputusan untuk terus bersama parti itu.

“Tentunya mereka berusaha menarik ahli parlimen ini untuk memperkuatkan parti yang bergabung dalam PH dan kita tahu keputusan PH tidak akan menerima ahli parlimen yang melompat kecuali dia jadi Bebas dahulu dan disebutkan oleh pemimpin utama parti berkenaan bahawa hanya mereka yang kononnya telah taubat nasuha diterima dan saya harap ia cukup jelas untuk rakyat.

“Tetapi yakinlah mana-mana ahli parlimen yang melompat parti itu hanya akan digunakan untuk menambah dan mempercukupkan jumlah mereka bagi menguatkan parti-parti tertentu di dalam pakatan itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan bersama-sama Ahli Majlis Tertinggi UMNO di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Johor, di sini sebentar tadi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengakui menyuruh beliau membubarkan UMNO kerana parti itu sudah tiada prinsip perjuangan.

Ahmad Zahid menegaskan, pendirian parti sehingga kini jelas tidak akan membubarkan UMNO walaupun diminta berkali-kali berbuat demikian oleh Mahathir. – UTUSAN ONLINE