Graduan jangan lupa jasa ibu bapa [METROTV]

PERMAISURI Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah mengingatkan graduan supaya tidak melupakan jasa ibu bapa masing-mssing selepas tamat pengajian.

Zarith bertitah, ibu bapa kumpulan graduan banyak berkorban dalam memastikan graduan berjaya.

Baginda merangkap canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bertitah, graduan seharusnya menghargai ibu bapa masing-masing.

“Curahkanlah kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka serta balaslah jasa baik mereka,” titahnya.

Zarith bertitah, sebagai canselor, baginda mengambil berat kebajikan dan keadaan penuntut UTM.

Baginda bertitah, berharap mendapat lebih banyak peluang untuk mendekati, mengenali serta mempelajari lebih lagi berkaitan keluarga, latar belakang dan impian penuntut.

“Segulung ijazah yang diterima hari ini amat bermakna kepada semua graduan.

“Pembangunan dan masa depan negara kita ini akan dicorak, dipimpin dan diteruskan legasinya berdasarkan ilmu yang dipelajari dan diperoleh.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua graduan UTM yang akan menerima ijazah,” katanya.

Zarith bertitah, warga UTM dinasihatkan mencurahkan bakti di universiti berkenaan.

“Bakti yang dicurahkan semua kakitangan, mahasiswa dan alumni UTM termasuk bagi meningkatkan komiten dan menggandakan usaha dalam menjayakan serta memajukan UTM sebagai intitusi pengajian tinggi terulung peringkat nasional dan global,” titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika mencemar duli menyempurnakan Konvokesyen Ke-61 UTM di sini, hari ini.

Seramai 3,652 graduan bakal diraikan di majlis konvokesyen berkenaan yang berlangsung selama tiga hari mulai 10 hingga 12 November di Dewan Sultan Iskandar.

Tamat

#kw konvokesyen UTM, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 9:13 PM

RAJA Zarith Sofiah menyampaikan Ijazah kepada graduan ketika majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia. FOTO Mohd Azren Jamaludin