Dr. Maszlee enggan ulas isu peletakan jawatan

KUALA LUMPUR 10 Nov. – Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik enggan mengulas mengenai desas-desus bahawa beliau akan melepaskan jawatan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Sebaliknya, kata beliau, perkara tersebut akan dijawab atau dibincangkan dalam sidang akhbar lain dan bukannya di UIAM yang baru sahaja selesai majlis konvokesyen sidang pertamanya.

“Orang tengah menghadapi satu peristiwa yang bermakna, bersejarah, memberi skroll, awak nak bawa berita khabar angin seperti ini. Saya rasa tidak sesuai, kita tangguhkan diwaktu lain.

“Tetapi bukan hari ini dan bukan waktu itu, saya tahu anda semua rakyat Malaysia yang memiliki sikap saling menghormati dan ini adalah sikap kita,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Terdahulu, Maszlee hadir merasmikan Majlis Konvokesyen UIAM ke-34 yang bermula hari ini.

Media semalam melaporkan, Maszlee bakal melepaskan jawatannya sebagai Presiden UIAM dalam masa terdekat.

Seorang pegawai kementerian memberitahu, keputusan itu diambil selepas beliau mengambil pendapat pelbagai pihak termasuk nasihat daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. – UTUSAN ONLINE