Dr. Mahathir tiba lawatan sehari ke Kelantan

KOTA BHARU 10 nov. – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pagi ini mengadakan perjumpaan tertutup bersama kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri ini, di sini.

Beliau yang juga Pengerusi Bersatu tiba di Hotel Emaslink Pacific di sini pada pukul 10.20 pagi sebelum mengadakan pertemuan tertutup dengan 14 pemimpin bahagian parti itu di negeri ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden Bersatu, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman; Ketua Penerangannya, Senator Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin dan Pengerusi Bersatu negeri, Datuk Kamaruddin Mohd. Noor.

Dalam lawatan sehari ini, Perdana Menteri akan menghadiri majlis bersama penyokong Pakatan Harapan (PH) diikuti pertemuan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob pada pukul 3 petang.

Majlis terakhir Dr. Mahathir di negeri ini ialah bersama dengan ketua jabatan Persekutuan pada pukul 3.30 petang.

Kesemua majlis tersebut diadakan di Hotel Emaslink Pacific di sini. – UTUSAN ONLINE