Cardiff bijak manfaat kelebihan untuk raih tiga mata

LONDON 10 Nov. – Kelebihan beraksi di laman sendiri serta bijak memanfaatkan aksi menentang 10 pemain Brighton & Hove Albion membolehkan Cardiff City meraih kemenangan 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, sebentar tadi.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Cardiff City menyaksikan pasukan pelawat terlebih dahulu mendapatkan jaringan menerusi Lewis Dunk seawal minit keenam sebelum Callum Paterson berjaya menyamakan kedudukan buat tuan rumah.

Ketika Brighton cuba untuk menjarakkan kedudukan jaringan, malang menimpa mereka apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Dale Stephens dilayangkan kad merah pada minit ke-34.

Malang yang menimpa pasukan pelawat menjadi kelebihan buat Cardiff apabila berjaya menguasai perlawanan sekali gus membolehkan Sol Bamba menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-90.

Itu juga adalah kemenangan kedua buat Cardiff dalam kempen liga domestik ketika ini dengan kali pertama meraih tiga mata ketika menewaskan Fulham 4-2 pada 20 Oktober lalu.

Kini Cardiff telah mengumpul lapan mata selepas 12 perlawanan berlangsung. – AGENSI