Bukan 52, tapi 10 saja

SHAH ALAM: Kongres Luar Biasa (EGM) Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang diadakan Khamis lalu tidak sah kerana gagal mencapai korum diperlukan apabila hanya 10 ahli gabungan menyatakan sokongan bagi mesyuarat itu diadakan.

Artikel 34.1 statut perlembagaan FAS, menyatakan untuk EGM diadakan mereka perlu mendapatkan 50 peratus (tambah 1) sokongan ahli dan jumlah kehadiran pada EGM itu jelas tidak mencapai bilangan yang diperlukan.

Menurut Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon, berdasarkan pertemuan tertutup yang dilakukan sehari sebelum EGM pada Rabu lalu bersama Pesuruhjaya Sukan dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Roslin Shariff yang mewakili ahli gabungan, dilihat gagal menunjukkan bukti mereka memiliki korum mencukupi daripada 121 ahli gabungan.

“Pada 1 Oktober lalu, FAS ada menerima surat daripada Roslin untuk mengadakan EGM kerana berjaya mendapatkan sokongan 67 kelab gabungan. 

“Namun pada 14 Oktober, kami menerima 17 penarikan balik dan lima pula hilang kelayakan kerana muflis untuk menjadikan jumlah itu berkurangan kepada 22. Jadi secara automatik, jumlah mereka yang mahu EGM diadakan hanya 45.

“Kemudian pada 24 Oktober, sebanyak 35 lagi menarik balik sokongan dan menyokong presiden sekaligus meletakkan mereka hanya ada 10 sokongan,” katanya sambil memberitahu Mesyuarat Eksekutif FAS pada 25 Oktober lalu menerima 26 keahlian baru, untuk menjadikan kesemuanya 121 kelab berdaftar.

“Perkara ini kami sudah maklumkan kepada Pesuruhjaya Sukan dan semuanya dijalankan mengikut statut FAS yang mereka sendiri buat untuk menjaga kepentingan dan kedudukan mereka sebelum ini,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Dr Johan, 31, turut ditanya apakah agenda dan niat sebenar kumpulan terbabit yang sanggup ‘melanggar’ arahan Presiden FAS, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang sebelum itu meminta mereka membatalkan niat mengadakan kongres berkenaan.

“Saya tak tahu niat mereka tapi kita boleh nampak mereka seperti tidak gembira dengan perubahan dan arahan yang diberikan.

“Mereka seperti tidak menyukai saya (Setiausaha Agung) dan Naib Presiden yang lebih muda. Bagi mereka, senioriti adalah segala-galanya. Saya hormat mereka yang ada pengalaman kerana boleh belajar sesuatu.

“Malah, kami juga ada memberi tawaran kepada Omar Ali untuk menjadi Pengarah Teknikal kerana sedar pengalaman luasnya boleh membantu FAS di peringkat akar umbi tapi beliau menolak. Bagi saya jawatan itu lebih tinggi daripada ketua jurulatih,” katanya.

Pada EGM ‘haram’ itu, Tengku Amir kekal sebagai presiden selepas sebulat suara dilantik semula untuk menjawat jawatan tertinggi badan induk bola sepak Selangor itu.

Selain Tengku Amir, dua lagi nama lama yang dilantik semula ialah Datuk Ariffin Abdul Hamid dan Omar sebagai Naib Presiden, manakala dua lagi jawatan naib presiden dipegang muka baharu Hamdan Hashim dan Roslin Shariff.

Bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Datuk Muhammad Nasir Hamzah pula dilantik Timbalan Presiden FAS yang baharu.