Ahmad Zahid terus jalankan tugas Presiden UMNO

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan meneruskan tugas-tugasnya sebagai pemimpin parti selepas pertikaian pendapat mengenai kedudukannya berikutan kes mahkamah yang dihadapi diselesaikan bersama barisan kepimpinan parti hari ini.

Katanya, perbezaan pendapat dalam kepimpinan UMNO termasuk gesaan sayap Pemuda supaya beliau berehat untuk sementara waktu bagi memberi tumpuan kepada kes mahkamah, telah diselesaikan secara baik. 

Tambahnya lagi, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti yang antara lain bersetuju untuk mengukuhkan institusi kepresidenan dan bergerak ke depan untuk memperkukuh perjalanan parti.

“Perbezaan pendapat diletakkan titik noktah, kita harus bersama untuk terjemahkan kebersamaan kepimpinan UMNO semua peringkat dan menolak sebarang usaha untuk memecahkan parti dari luar atau dalam,” katanya selepas mempengerusikan MKT yang berlangsung selama tiga jam di sini.

Sebelum ini, Pemuda UMNO dilaporkan menggesa Ahmad Zahid Hamidi supaya bercuti dan berehat buat seketika daripada menjalankan tugas sebagai presiden parti sehingga kesnya di mahkamah selesai, sekali gus menumpukan usaha membersihkan nama di mahkamah. – Bernama