Warlord Azmin, Rafizi bersuara

KUALA LUMPUR 9 Nov. – Demi memastikan calon Timbalan Presiden pilihan menang, ke­semua mereka termasuk warlord daripada kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atau Rafizi Ramli dilihat tidak lagi ‘malu-malu kucing’ untuk mempertahankan atau menyokong calon masing-masing.

Ahli Parlimen Julau, Larry Sng sendiri secara terbuka menerusi akaun Facebook meminta ahli-ahli PKR Cabang Julau, Sarawak memberi sokongan kepada Rafizi dalam pemilihan parti peringkat negeri itu esok.

Malah, dalam statusnya itu, beliau meminta semua penyokong memakai baju kuning untuk hadir ke Kompleks Sukan Julau, tempat pengundian Cabang itu diadakan.

“Esok saya minta semua rakan-rakan penyokong PKR Julau memakai baju kuning turun ke Kompleks Sukan Julau. Ini tempat mengundi dari pukul 9 pagi sampai pukul 4 petang. Minta semua sokong Team Rafizi Ramli,” katanya dalam laman Facebook miliknya hari ini.

Calon Naib Presiden PKR, Datuk Johari Abdul sendiri me­ngakui Julau mungkin memberi kelebihan kepada Rafizi namun tetap memberi tumpuan untuk ‘bertempur’ di kawasan lain termasuk pemilihan semula di Melaka, tiga cabang di Sabah dan satu di Selangor agar memberi kemenangan kepada Rafizi.

Mereka yang menyokong Mohamed Azmin dilihat akan memulakan saingan dalam dua hari terakhir Pemilihan PKR ini dengan mood tidak baik, selepas keputusan parti itu membenarkan pertambahan ahli di Cabang Julau.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin yang mendakwa seolah-olah terdapat sepasang tangan ghaib yang sedang cuba untuk mengawal proses pemilihan parti, demi kepentingan peribadi sesuatu pihak.

“Kita (PKR) dilanda pelbagai kontroversi yang memperlihatkan seolah-olah parti ini gagal untuk menjulang agenda demokrasi yang selama ini diperjuangkan, sekali gus tidak berupaya untuk mengekalkan momentum reformasi dalam meniti Malaysia baharu,” katanya.

Perasaan sama diluahkan oleh Ahli Jawatankuasa Pusat PKR, Latheefa Koya yang melihat kelulusan pendaftaran keahlian di cabang itu se­perti cubaan menafikan aduan membabitkan penipuan dan penyelewengan dalam pemilihan parti itu.

“Ini satu penghinaan terhadap proses pemilihan jika pe­ngundian terus diadakan di Julau pada Sabtu ini. Biro Politik PKR perlu menggantung pe­ngundian di Cabang itu dengan segera,” katanya.

Turut melahirkan perasaan sama ialah calon Majlis Pim­pinan Pusat (MPP) PKR, R. Siva­rasa yang ragu-ragu berhubung pendaftaran ahli PKR Cabang Julau dan menyeru ahli-ahli PKR Sarawak menolak calon dan pemimpin yang membelakangi usaha manipulasi itu.