14 pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Sentosa, Rawang dijangkiti beguk, enam kelas ditutup

SHAH ALAM – Enam kelas di Sekolah Kebangsaan Bukit Sentosa, Rawang ditutup selama 14 hari bermula semalam selepas 14 pelajar berumur 10 hingga 12 tahun dijangkiti wabak beguk.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Khalid Ibrahim berkata, penutupan kelas itu dibuat untuk aktiviti pembersihan dan disinfeksi yang merupakan salah satu langkah memutuskan rangkaian jangkitan beguk.

“Pihaknya telah menerima laporan mengenai kejadian wabak beguk dalam kalangan pelajar sekolah berkenaan semalam dan tindakan kawalan serta pencegahan telah dijalankan termasuk saringan pelajar, pengasingan pelajar dan pendidikan kesihatan. 

“Kejadian tersebut melibatkan 14 pelajar berusia antara 10 hingga 12 tahun dan kesemuanya berada dalam keadaan stabil serta telah menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Khalid berkata, pihaknya ingin menasihati murid-murid yang mempunyai gejala beguk untuk tidak hadir ke sekolah untuk mengelakkan jangkitan kepada rakan-rakan di sekolah. 

“Orang ramai yang mengalami gejala dan tanda-tanda beguk pula diminta untuk mendapatkan nasihat doktor dan sentiasa menjaga kebersihan diri serta mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul bagi mengelakkan penularan penyakit ini,” ujarnya. – K! ONLINE